Bisikan Kasih - 1

"Mak, dua minggu lagi Mila nak daftar masuk universiti. Tak sabarnya."

"Alhamdulillah. Mak minta maaf tak dapat hantar Mila."

"Takpa mak, Mila pi dengan Aida je."

Mila sudah biasa berdikari. Sejak ayah meninggalkan mereka untuk selamanya dalam kemalangan jalanraya, Mila adik-beradik sentiasa cuba tidak menyusahkan emak.

Mila masih ingat ketika mendaftar ke pusat matrikulasi selepas keputusan diumumkan, emak mula runsing. Mana nak cari duit untuk yuran pendaftaran dan tambang ke Kuala Lumpur.

Mila dengan berat hati mengadap Tok Wan untuk meminjam duit. Mila turut bekerja dengan saudaranya, dapat juga kumpul sedikit wang untuk membeli barang keperluan.

Mila tumpang saudara yang kebetulan balik kekampung untuk ke Kuala Lumpur. Perjalanan empat jam terasa sangat panjang. Mila hanya diam kerana tidak tahu nak cakap apa dengan keluarga saudara tersebut.

Sepanjang setahun, Mila hanya dapat kunjungan pelawat dua atau tiga kali sahaja. Kawan-kawan Mila yang lain beruntung kerana keluarga mereka selalu datang dihujung minggu. Mila hanya mampu berkongsi kegembiraan dengan makanan yang biasanya dibekalkan oleh ibu mereka. Mila hanya mampu memendam rindu pada emak dan adik-adiknya. Mila rindu pada masakan emak.

"Mila, hang dah siap ka?"

Suara Aida mengejutkan Mila dari lamunan.

"Dah, dah. Jom"

Aida membawa keretanya keluar dari perkarangan rumah banglonya yabg terletak disebuah kawasan elit di Kuala Lumpur. Mila mengenali Aida semasa dimatrikulasi, mereka satu kelas. Aida anak orang kaya. Aida sering membantu Mila dalam banyak hal. Bukan Mila yang meminta-minta.

Aida memang ikhlas. Bila Mila menyuarakan hasrat untuk menumpang Aida ketika mendaftar ke tahun satu di universiti, Aida menyambut dengan hati yang gembira.

Rupanya Aida pun sama macam Mila, terpaksa pergi seorang kerana ibu dan bapanya ada urusan diluar negara.

Ketika Mila sampai dengan bas di Puduraya, Aida datang menjemput dengan kereta. Aida tidak pernah berkira walaupun Mila hanyalah budak kampung yang serba kekurangan.

Sehari sebelum pendaftaran, Aida bawa Mila ke kedai berhampiran rumahnya untuk membeli barang keperluan seperti baldi, selipar dan sebagainya. Aida pun rupanya masih belum ada barang-barang tersebut. Mila tidak mengambil kesempatan atas kebaikan Aida. Semua barang Mila bayar sendiri.

Tiba hari pendaftaran, kedua-dua mereka sudah berada didewan seawal 8 pagi. Sudah ramai pelajar-pelajar ditemani keluarga masing-masing yang memenuhi ruang sekita dewan pendaftaran.

"Aida, hang dapat kampus mana?" Mila tak sabar nak tahu sebaik melihat Aida keluar dari dewan.

"Aku kamsis Dato' Onn. Kau pulak?" Tanya Aida.

"Aku kamsis sebelah ni je, Tun Hussein Onn." Gembira Mila bila mengetahui sahabat baiknya mendapat kampus kediaman yang tidak jauh dari biliknya.

"Mila, jom tolong hantar barang aku. Lepas tu kita hantar barang ke bilik kau pulak."

Dan bermulalah hidup Mila sebagai seorang mahasiswa. Mila puas kerana hasratnya untuk memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia dimakbulkan.

Mila nekad untuk belajar bersungguh-sungguh demi menukar nasib keluarganya. Emak dan adik-beradik sentiasa menjadi pemangkin semangat Mila untuk menggenggam segulung ijazah.

Selesai urusan dikamsis, Mila keluar ke dewan untuk bertemu rakan-rakan yang lain. Ramai juga muka-muka baru terutama pelajar-pelajar Law dan TESL. Mereka bukan dari pusat matrikulasi seperti Mila dan Aida.

Kelihatan juga ibubapa dan keluarga yang memeluk anak masing-masing sebelum bergerak pulang. Hati Mila mungkin terusik sedikit melihat suasana tersebut,  namun riak muka Mila sama, tiada kesedihan yang perlu ditunjukkan.

Mila nampak emak tersenyum bangga. Mila nampak wajah arwah abah, wajah adik-adik dikampung.

Mila janji, tidak akan hampakan harapan emak. Mila nak jadi jurutera.

"Mila, kafe jom. Lapar la."

Entah bila pula Aida ada ditepi. Dah hampir maghrib rupanya.

"Jom jom. Aku pun kebuluq ni."

Keduanya berjalan laju memasuki kafe yang terletak diantara dua kampus kediaman. Dua pelajar dari latar belakang yang berbeza, takdir menemukan mereka. Bagi keduanya, siapa kaya siapa miskin tidak jadi hal.

Hidup ini untuk saling melengkapi.

Comments

Popular posts from this blog

Apa itu SAP?

Modul dalam SAP

Apakah iDoc dalam SAP?